Wednesday, August 24, 2011

Kenangan Syawal tahun 80-an.

Marilah adikku, marilah bersamaku. Kutukar bajumu yang baru. Ramai rakan-rakan yang sedang menunggu, cepatlah siap adikku. Panggillah kawanmu duduk keliling meja. Makanlah ketupat kuih muih yang ada. Jangan rebut-rebut, makanlah dengan tertib. Itulah pesan ibu. Kalau sudah makan, jalan ramai bersama kawanmu semua. Bersalam-salaman, bermaaf-maafan di hari bahagia ini. Alangkah indahnya dihari yang mulia, kita semua berhari raya dengan hati ikhlas, zahir batin sekata. Selamat hari raya..

Tinggal 4 hari lagi, Ramadhan akan meninggalkan kita. Semoga amalan kita diterima Allah. Ambang Syawal telah kelihatan meriahnya. Melihat telatah anak-anak, terimbas kenangan sewaktu zaman kecilku terutama bila sesekali disapa lagu nostalgia Rafeah Buang ini. Zaman dahulu, persiapan raya tidaklah sehebat mana. Baju raya pun kadangkala tiada, jika ada pun atas ehsan kakak-kakak (Kak Ros dan Kak Sal) dan abang. Tetapi meriahnya Tuhan sahaja yang tahu. Sewaktu umurku sekitar 9 tahun, dua hari sebelum hari raya lagi tugas mencuci rumah telah bermula. Langsir dicuci, kerusi rotan di'syelek' agar baru, tangga dicat, tingkap dibasuh. Kemudian, petang harinya kakak-kakak yang telah berkahwin tiba untuk berhari raya. Esoknya, Kak Sal akan pergi ke pasar membeli bahan mentah untuk masakan hidangan pagi raya sementara yang di rumah merebus ketupat dan lepat (ketupat palas). Selalunya, itu tugas Emak dan Kak Ros, aku hanya pemerhati...maklumlah kecil lagi. Bila Kak Sal sampai ke rumah semula, maka bermulalah misi memasak lauk pula. Kalau orang lain rendang jadi hidangan untuk dimakan bersama ketupat, lain pula halnya dengan keluarga kami. Lauk wajib kami ialah ayam masak kicap resepi Mak dan kari daging campur hati lembu. Ayam masak kicap yang dimaksudkan ialah ayam yang digoreng garing, ditumis bersama lada hitam yang ditumbuk dengan cili api. Sebelum kicap cap Tamin dimasukkan, gaulkan dahulu bersama kentang yang dipotong dadu dan digoreng, suhun dan fucuk yang telah direndam, bawang besar dipotong dadu dan cili hijau besar. Aduyaiii...memang sedap lah. Makan pula bersama kari daging tetel bersama hati lembu yang dimasak tidak terlalu pekat untuk dibuat pencicah ketupat nasi dan ketupat palas.

Selalunya, kami siap memasak sebelum tiba waktu berbuka puasa. Berbuka puasa hari terakhir adalah yang paling meriah, dan pastinya ada lauk wajib yang mengiringi kami, iaitu sup taugeh. Nampaknya ringkas sekali, tapi sedapnya Ya Rabbi...Mulalah air beraneka warna, kuih beraneka macam. Zaman itu, rumah sederhana kami tiada peti ais. Kalau teringin air batu, terpaksa beli dari jiran atau di pekan Simpang Lima. Istimewanya jika di pekan Simpang Lima, air batunya dijual di tepi jalan. Untuk mengelakkan cair, air batu diletakkan dalam timbunan sekam padi. Apabila pembeli ingin membeli, air batu itu akan digergaji untuk memotongnya menjadi ketulan kecil seperti diminta pelanggan. Kemudian, dibalut dengan suratkhabar dan diikat dengan tali rafia. Bapak akan menyangkutnya di 'handle' basikal untuk dibawa pulang.

Selepas berbuka, bapak dan abang akan membuka stok mercun dan bunga api. Ini yang paling aku seronok! Kami akan bermain sehingga pagi. Sekiranya stok mercun kehabisan sebelum puas bermain, abangku akan sanggup pergi ke rumah jiran kerana di sana ada meriam. Hmm..berdentam dentumlah bunyinya...

Esok paginya, pagi-pagi lagi kami telah bangun untuk mandi sunat Hari Raya, dan bergaya dengan baju baru (kalau ada). Kami akan bersarapan dahulu dengan masakan yang dimasak semalam sebelum kaum lelaki pergi bersolat sunat Aidilfitri. Sekembalinya mereka dari surau, maka acara bermaaf-maafan pun bermula. Aku juga yang paling seronok kerana mendapat duit raya. Selepas itu, barulah acara-acara lain yang dilakukan kanak-kanak seperti ku akan menyusul seperti acara mengutip duit raya keliling kampung dan sebagainya.

Kenangan beraya bersama Emak dan Bapak di rumah yang aku lahir, di Simpang Lima, sering mengetuk pintu hatiku. Kenangan yang tidak dapat ku ulang lagi kerana Emak dan Bapak telah pergi menemui Ilahi. Emak, Bapak...semoga rohmu aman disana. Alfatihah..

Tuesday, August 9, 2011

Selamat menempuh alam sepuluh tahun yang kedua...



Kepada sang suami,



Selamat menyambut ulangtahun yang kesepuluh pada Ramadhan ini. Serasa baru semalam kita bernikah, lantas berkongsi kehidupan dalam keadaan tidak saling mengenali hati dan budi masing-masing. Hanya satu yang menjadi jambatan hati kita waktu itu, iaitu bersatu atas kalimah Allah yang telah menciptakan manusia berpasang-pasangan. Satu demi satu tingkat pelajaran yang kita lalui untuk saling mencari pengertian, agar perkongsian hidup yang diperjudikan membuahkan hasil yang makmur. Tidak sedikit air mata yang tumpah, tidak secubit hati yang terluka, tidak sebaris doa dipanjatkan memohon ditabahkan hati dan dipermudahkan jalannya. Kita harungi hutan banar, bukit bukau, lembah savana sehingga ke tepian laut dan puncak gunung. Semuanya demi mencari kelangsungan hidup berumahtangga. Dalam pada itu, diamanahkan Dia empat cahayahati penyejuk mata untuk kita didik - dua putera dan dua puteri - yang akan mewarisi legasi keturunan kita.



Selama berkongsi bantal, banyak perkara telah kita pelajari. Pelajaran paling besar adalah kesederhanaan. Dengan kesederhanaan, kita rentasi sungai yang deras airnya. Dengan kesederhanaan, kita daki puncak gunung tinggi berliku. Dengan kesederhanaan, kita lalui padang pasir yang tandus. Hidup kita sederhana. Gelak ketawa kita sederhana. Tangis sedu kita sederhana. Semuanya serba sederhana kerana kita mula belajar bercinta hanya setelah diijabkabulkan. Cintamu juga sederhana, namun kesederhanaan itulah yang membuka tabir keinsafan, mengikat hati nurani, dan mendorong sikap memberi.



Semoga Allah merahmati rumahtangga dan keluarga kita di dunia yang sementara ini untuk menjadi bekal akhirat yang abadi. Tidak tersingkap tabir kita apa yang ada dihadapan, namun kupanjatkan doa agar diberikan kekuatan, ditambah kasih sayang dan belas kasihan dalam hati kita supaya bahtera kita tidak karam dilaut kehidupan walaupun sesekali oleng dilanda ribut dan berkali-kali pula dipukul ombak-ombak kecil yang hadirnya semata-mata untuk menguji ketahanan bahtera itu.



Terima kasih kerana menerima isteri mu ini seadanya...