Wednesday, August 24, 2011

Kenangan Syawal tahun 80-an.

Marilah adikku, marilah bersamaku. Kutukar bajumu yang baru. Ramai rakan-rakan yang sedang menunggu, cepatlah siap adikku. Panggillah kawanmu duduk keliling meja. Makanlah ketupat kuih muih yang ada. Jangan rebut-rebut, makanlah dengan tertib. Itulah pesan ibu. Kalau sudah makan, jalan ramai bersama kawanmu semua. Bersalam-salaman, bermaaf-maafan di hari bahagia ini. Alangkah indahnya dihari yang mulia, kita semua berhari raya dengan hati ikhlas, zahir batin sekata. Selamat hari raya..

Tinggal 4 hari lagi, Ramadhan akan meninggalkan kita. Semoga amalan kita diterima Allah. Ambang Syawal telah kelihatan meriahnya. Melihat telatah anak-anak, terimbas kenangan sewaktu zaman kecilku terutama bila sesekali disapa lagu nostalgia Rafeah Buang ini. Zaman dahulu, persiapan raya tidaklah sehebat mana. Baju raya pun kadangkala tiada, jika ada pun atas ehsan kakak-kakak (Kak Ros dan Kak Sal) dan abang. Tetapi meriahnya Tuhan sahaja yang tahu. Sewaktu umurku sekitar 9 tahun, dua hari sebelum hari raya lagi tugas mencuci rumah telah bermula. Langsir dicuci, kerusi rotan di'syelek' agar baru, tangga dicat, tingkap dibasuh. Kemudian, petang harinya kakak-kakak yang telah berkahwin tiba untuk berhari raya. Esoknya, Kak Sal akan pergi ke pasar membeli bahan mentah untuk masakan hidangan pagi raya sementara yang di rumah merebus ketupat dan lepat (ketupat palas). Selalunya, itu tugas Emak dan Kak Ros, aku hanya pemerhati...maklumlah kecil lagi. Bila Kak Sal sampai ke rumah semula, maka bermulalah misi memasak lauk pula. Kalau orang lain rendang jadi hidangan untuk dimakan bersama ketupat, lain pula halnya dengan keluarga kami. Lauk wajib kami ialah ayam masak kicap resepi Mak dan kari daging campur hati lembu. Ayam masak kicap yang dimaksudkan ialah ayam yang digoreng garing, ditumis bersama lada hitam yang ditumbuk dengan cili api. Sebelum kicap cap Tamin dimasukkan, gaulkan dahulu bersama kentang yang dipotong dadu dan digoreng, suhun dan fucuk yang telah direndam, bawang besar dipotong dadu dan cili hijau besar. Aduyaiii...memang sedap lah. Makan pula bersama kari daging tetel bersama hati lembu yang dimasak tidak terlalu pekat untuk dibuat pencicah ketupat nasi dan ketupat palas.

Selalunya, kami siap memasak sebelum tiba waktu berbuka puasa. Berbuka puasa hari terakhir adalah yang paling meriah, dan pastinya ada lauk wajib yang mengiringi kami, iaitu sup taugeh. Nampaknya ringkas sekali, tapi sedapnya Ya Rabbi...Mulalah air beraneka warna, kuih beraneka macam. Zaman itu, rumah sederhana kami tiada peti ais. Kalau teringin air batu, terpaksa beli dari jiran atau di pekan Simpang Lima. Istimewanya jika di pekan Simpang Lima, air batunya dijual di tepi jalan. Untuk mengelakkan cair, air batu diletakkan dalam timbunan sekam padi. Apabila pembeli ingin membeli, air batu itu akan digergaji untuk memotongnya menjadi ketulan kecil seperti diminta pelanggan. Kemudian, dibalut dengan suratkhabar dan diikat dengan tali rafia. Bapak akan menyangkutnya di 'handle' basikal untuk dibawa pulang.

Selepas berbuka, bapak dan abang akan membuka stok mercun dan bunga api. Ini yang paling aku seronok! Kami akan bermain sehingga pagi. Sekiranya stok mercun kehabisan sebelum puas bermain, abangku akan sanggup pergi ke rumah jiran kerana di sana ada meriam. Hmm..berdentam dentumlah bunyinya...

Esok paginya, pagi-pagi lagi kami telah bangun untuk mandi sunat Hari Raya, dan bergaya dengan baju baru (kalau ada). Kami akan bersarapan dahulu dengan masakan yang dimasak semalam sebelum kaum lelaki pergi bersolat sunat Aidilfitri. Sekembalinya mereka dari surau, maka acara bermaaf-maafan pun bermula. Aku juga yang paling seronok kerana mendapat duit raya. Selepas itu, barulah acara-acara lain yang dilakukan kanak-kanak seperti ku akan menyusul seperti acara mengutip duit raya keliling kampung dan sebagainya.

Kenangan beraya bersama Emak dan Bapak di rumah yang aku lahir, di Simpang Lima, sering mengetuk pintu hatiku. Kenangan yang tidak dapat ku ulang lagi kerana Emak dan Bapak telah pergi menemui Ilahi. Emak, Bapak...semoga rohmu aman disana. Alfatihah..

Tuesday, August 9, 2011

Selamat menempuh alam sepuluh tahun yang kedua...



Kepada sang suami,



Selamat menyambut ulangtahun yang kesepuluh pada Ramadhan ini. Serasa baru semalam kita bernikah, lantas berkongsi kehidupan dalam keadaan tidak saling mengenali hati dan budi masing-masing. Hanya satu yang menjadi jambatan hati kita waktu itu, iaitu bersatu atas kalimah Allah yang telah menciptakan manusia berpasang-pasangan. Satu demi satu tingkat pelajaran yang kita lalui untuk saling mencari pengertian, agar perkongsian hidup yang diperjudikan membuahkan hasil yang makmur. Tidak sedikit air mata yang tumpah, tidak secubit hati yang terluka, tidak sebaris doa dipanjatkan memohon ditabahkan hati dan dipermudahkan jalannya. Kita harungi hutan banar, bukit bukau, lembah savana sehingga ke tepian laut dan puncak gunung. Semuanya demi mencari kelangsungan hidup berumahtangga. Dalam pada itu, diamanahkan Dia empat cahayahati penyejuk mata untuk kita didik - dua putera dan dua puteri - yang akan mewarisi legasi keturunan kita.



Selama berkongsi bantal, banyak perkara telah kita pelajari. Pelajaran paling besar adalah kesederhanaan. Dengan kesederhanaan, kita rentasi sungai yang deras airnya. Dengan kesederhanaan, kita daki puncak gunung tinggi berliku. Dengan kesederhanaan, kita lalui padang pasir yang tandus. Hidup kita sederhana. Gelak ketawa kita sederhana. Tangis sedu kita sederhana. Semuanya serba sederhana kerana kita mula belajar bercinta hanya setelah diijabkabulkan. Cintamu juga sederhana, namun kesederhanaan itulah yang membuka tabir keinsafan, mengikat hati nurani, dan mendorong sikap memberi.



Semoga Allah merahmati rumahtangga dan keluarga kita di dunia yang sementara ini untuk menjadi bekal akhirat yang abadi. Tidak tersingkap tabir kita apa yang ada dihadapan, namun kupanjatkan doa agar diberikan kekuatan, ditambah kasih sayang dan belas kasihan dalam hati kita supaya bahtera kita tidak karam dilaut kehidupan walaupun sesekali oleng dilanda ribut dan berkali-kali pula dipukul ombak-ombak kecil yang hadirnya semata-mata untuk menguji ketahanan bahtera itu.



Terima kasih kerana menerima isteri mu ini seadanya...

Thursday, July 28, 2011

Daging masak hitam Kak Mariah

Bahan-bahannya:

Seketul daging - seeloknya batang pinang
Ketumbar biji, jintan manis, jintan putih, lada hitam
Bawang putih - lagi banyak lagi bagus
Bawang merah
Serbuk cili
Kicap tamin
Kicap manis
Minyak untuk menumis
Sedikit garam

Cara-caranya:

1. Bersihkan daging, tetapi jangan dipotong.
2. Perapkan dengan kicap tamin dan kicap manis selama 1/2 jam.
3. Rebus daging berkenaan bersama perapannya. Tambah air jika perlu.
4. Setelah masak, angkat dan sejukkan sedikit kemudian baru dipotong dagingnya.
5. Sambil itu, tumbukkan ketumbar, jintan manis, jintan putih, lada hitam dan bawnag putih.
6. Panaskan minyak dalam kuali.
7. Tumiskan bahan yang ditumbuk.
8. Masukkan bawnag besar yang dipotong dadu. Kacau hingga garing (kejap je ni).
9. Perlahankan api dan masukkan serbuk cili. Kacau hingga pecah minyak.
10.Masukkan daging bersama air rebusannya tadi dan masak hingga mendidih.
11.Boleh masukkan daun bawang dan lobak merah jika suka.
12.Masukkan sedikit garam untuk perasa, dan siap......

Mari merendang






Resepi rendang daging dari Kak Sal..

Bahan-bahannya:
Daging - dalam 1 kg atau lebih sedikit
Cili kering
Cili api
Bawang merah, bawang putih
Lengkuas
Kunyit hidup
Serai
Minyak masak untuk menumis
Daun kunyit
Santan kelapa
Kelapa parut
Asam keping
Gula merah ketul
Garam

Cara menyediakan:
1. Daging dipotong-potong dan dibersihkan.
2. Cili kering dipotong, buang bijinya dan rebus/rendam dengan air panas.
3. Kisar bawang merah, bawang putih, lengkuas, serai yang dipotong, kunyit hidup, cili kering dan cili api.
4. Panaskan minyak masak dalam kuali dan tumiskan bahan yang dikisar sehingga garing/pecah minyak.
5. Masukkan daging dan kecutkan.
6. Setelah kecut, masukkan santan.
7. Masukkan juga kelapa parut dan serai yang diketuk. Biarkan dengan api sederhana.
8. Setelah hampir kering, masukkan gula merah. Rasa dagingnya dah empuk atau belum, kalau belum, tambahkan sedikit air.
9. Bila daging sudah empuk dan hampir kering, masukkan asam keping, garam dan daun kunyit yang dihiris.
10.Masak hingga sebati dan kering mengikut kesukaan.

Nota: Lapo pulak rasa perut bila menulis resepi ni...adui..huhu..









Wednesday, July 27, 2011

Kek pisang favourite

Senang sungguh menyediakannya. Kalau beli pisang dan agak-agak hampir expired tanpa sempat dimakan, boleh dijadikan kek.

Bahan-bahan:

3-4 Biji pisang (apa2 jenis pisang..berangan ke, montel ke..)
1 3/4 Cawan tepung gandum
1/4 Cawan tepung jagung
1 Cawan gula pasir/merah
1 Cawan minyak masak
3 Biji telur
1/2 Sudu teh baking powder
1/2 Sudu teh soda bikarbonat
1 Sudu teh esen vanila
Secubit garam

Cara-caranya:

1. Ayak tepung gandum, tepung jagung, baking powder, soda bikarbonat dan garam bersama-sama.
2. Ramas pisang.
3. Pukulkan telur dan gula sampai kembang.
4. Masukkan pisang dan esen vanilla - pukul sekejap.
5. Masukkan tepung-tepung - pukul sekejap.
6. Masukkan minyak masak - pukul sehingga sebati.
7. Preheat oven pada suhu 150 C selama 10 minit.
8. Bakar pada suhu 150 C selama 45 minit atau sampai masak.

Nota: Boleh juga dijadikan cup cake. Bezanya waktu memasak cupcake ialah 20 minit/sehingga masak.

Laksa Kak Ngah..

Resepi laksa dari Kak Ngah, Batu 8, Taiping (kakak iparku...)

Bahan2:

Untuk kuah:
Ikan kembung dan ikan selayang (kalau yang besar lagi bagus)
Ikan bilis (yang paling murah pun takpe)
Bawang merah, putih dan halia
Cili kering
Daun kesum
Bunga kantan
Fishcake - dihiris nipis2
Asam keping
Garam

Untuk hidang:
Laksa kering - direndam (lagi lama lagi bagus)
Telur rebus
Cili api dan/atau cili besar - dihiris
Bawang besar - dihiris
Timun - dihiris
Daun selom - dihiris
Limau kasturi

Cara membuat kuah:
1. Bersihkan ikan dan rebus bersama asam keping.
2. Bersihkan ikan bilis dan rebus.
3. Rebus cili kering.
4. Kisar ikan bilis bersama air rebusannya, tapis dan ketepikan airnya.
5. Asingkan isi ikan dengan tulangnya.
6. Kisar isi ikan bersama air rebusannya. Ketepikan.
7. Kisar tulang ikan. Tapis dan ketepikan airnya.
8. Kisar cili kering, tapis dan ketepikan airnya.
9. Kisar bawang merah, putih, halia.
10.Ambil periuk, masukkan bawang yang dikisar bersama isi ikan, air rebusan tulang ikan, air rebusan ikan bilis, air rebusan cili kering dan fish cake. Rebus semua.
11.Masukkan asam keping dan tunggu menggelegak.
12.Masukkan daun kesum, bunga kantan dan garam.

Untuk menghidang:
1. Masukkan air dalam kuali/periuk untuk merebus laksa dan didihkan.
2. Bila air telah mendidih, masukkan laksa yang telah direndam.
3. Bila telah lembut, tutup api dan tapiskan utnuk dibuang airnya.
4. Bilas laksa dengan air paip dan sejatkan.
5. Masukkan sedikit laksa dalam mangkuk, bubuh ulam-ulaman yang telah dihiris dan telur.
6. Curah kuah.
7. Makan...sedapnya...

Mee kari seafood

Kali ni Mama nak kongsi resepi mee kari yang sedap dan senang sahaja...

Bahan-bahan:

Untuk kuah:
Udang putih kecil
Ketam 2 ekor - dibersihkan dan dibelah dua
Bawang merah dan putih (boleh dimayang atau dikisar)
Serbuk kari daging + ikan
Daun kari
Santan kelapa
Minyak masak
Garam dan gula untuk perasa

Untuk menghidang:
Mee kuning (dicelur)
Fish cake (dicelur dan dipotong)
Taupuok (tauhu kering) (dicelur dan dipotong)
Cili hijau (dipotong)
Tauge (dicelur kalau suka)
Isi kerang rebus
Telur rebus
Limau kasturi
Sawi (dipotong2 dan dicelur)
Daun sup, bawang goreng

Cara membuat kuah:

1. Siang udang dengan mengasingkan ekor dan kepala daripada isinya.
2. Rebus ekor dan kepala udang.
3. Kisar ekor dan kepala udang bersama air rebusannya dan kemudian tapis. Ketepikan air tapisannya.
4. Tumis bawang dengan minyak masak sampai garing.
5. Perlahankan api sehingga paling kecil dan masukkan serbuk kari serta daun kari. Tumis sehingga pecah minyak.
6. Masukkan air rebusan ekor dan kepala udang, diikuti ketam.
7. Setelah menggelegak, masukkan santan dan tunggu sehingga menggelegak semula.
8. Perasakan dengan garam dan gula.

Untuk menghidang:

1. Masukkan mee kuning dalam mangkuk, diikuti bahan2 lain.
2. Curahkan kuah. Kalau suka, perah limau kasturi.
3. Sodappp...